Isnin, 6 Disember 2010

Membaca

Membaca berperanan untuk menajamkan minda seseorang. Orang yang banyak membaca, otaknya menjadi tajam, mudah memahami sesuatu yang diperkatakan dan matang semasa membuat keputusan. Manakala orang yang tidak suka membaca otaknya menjadi semakin tumpul, sukar memahami apa-apa juga yang diperkatakan dan tidak matang semasa membuat keputusan.

Kita perlu pandai menyesuaikan diri dengan bahan bacaan. Bahan bacaan hendaklah sesuai dengan suasana. Bacaan yang berat, bersifat ilmiah sesuai dibaca ketika kita mempunyai tumpuan yang tinggi, bersedia dan duduk di tempat yang betul seperti ruang belajar. Manakala jika kita berada di tempat awam, seperti di pusat membeli belah, padang permainan dan seumpamanya, waktu yang terluang perlu diisi dengan pembacaan yang bersifat ringan. Kita boleh membaca majalah, surat khabar, komik dan sebagainya.

Budaya membaca perlu disemai dalam diri setiap remaja. Jika kita tidak mahu dicap sebagai keanak-anakan dan tidak matang, kita perlu menjadi pencinta buku. Kita perlu minat dan suka membaca pada setiap masa dan tempat. Bahan utama yang perlu kita banyak membaca ialah Quran. Kita perlu banyak membaca Quran kerana ia adalah pembawa petunjuk dan ubat untuk orang yang sakit. Penyakit mental dan fizikal boleh diubati dengan membaca Quran.

Jika kita berasa gelisah dan risau tentang sesuatu, ambillah air sembahyang, kemudian menghadaplah ke arah kiblat dan bacalah Quran. Pegang dan selak mana-mana halaman Quran. Pada halaman yang kita selak itu, bacalah dengan mengikut tajwidnya dan hayatilah bacaan kita. Dengan izin Allah, kita akan dapat ubatnya. Cubalah dan rasailah keajaiban Quran.

Di samping itu, bacalah buku-buku yang menerangkan tentang ajaran Islam yang sebenar. Bacalah buku-buku yang menyentuh permasalahan ibadah yang mudah untuk kita faham. Bacalah sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. dan ambillah pengajaran bagaimana beliau melayari hidup ketika remaja. Bahan bacaan berkaitan pembentukan akhlak yang baik, cerita-cerita tentang para sahabat nabi, kisah pejuang-pejuang Islam dan seumpamanya.
(Rujukan:pts.com.my)


Membaca walau di mana saja kita berada
Membaca adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan