Jumaat, 3 Disember 2010

Sejarah Penubuhan


Pada tahun 1980-an sekolah agama rakyat mula mendapat tempat di hati sanubari penduduk kawasan Lekir, Perak. Ekoran daripada itu, atas daya usaha, inisiatif dan prihatin terhadap masalah ini, maka satu mesyuarat telah diadakan di Dewan Orang Ramai Batu 10 Lekir untuk merancang pembinaan sebuah sekolah menengah agama rakyat di daerah Manjung ini.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Lekir telah menyampaikan usul untuk membina sebuah sekolah menengah agama rakyat di daerah Manjung kepada Pejabat Agama Daerah Manjung. Apabila telah mendapat persetujuan, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dan satu kertas kerja telah dibuat. Ustaz Haji Mohd Zaini bin Naji telah dilantik sebagai pengerusi, Encik Ahmad Salleh bin Othman sebagai naib pengerusi, sementara Tuan Haji Mohd Basri bin Haji Zamzam sebagai bendahari. Ahli jawatankuasa pula terdiri daripada ketua-ketua kampung kawasan Lekir (Ketua Kampung Batu 10, Ketua Kampung Kayan, Ketua Kampung Lekir, Ketua Kampung Sungai Tiram dan Ketua Kampung Pasir Pandak).

Pada bulan Januari 1988, sekolah ini telah menerima kemasukan 70 pelajar dan 5 orang tenaga pengajar. Pada awalnya sekolah ini hanya menumpang di Sekolah Agama Rakyat (Rendah) Batu 10 Lekir sehinggalah dua blok bangunan baru sekolah siap pada pertengahan tahun 1993. Beberapa orang dikenali sebagai pengasas sekolah ini ialah Ustaz Mohd Zaini bin Naji, Kadi Mohd Arif bin Haji Hashim, Ustaz Haji Abdul Aziz bin Mahyuddin dan Encik Alias bin Haji Ramli (Ketua Kampung Batu 10 ketika itu).

Pembinaan awal sekolah ini bermula pada tahun 1992. Sumber dan kos pembinaan berjumlah RM160,000. Sebanyak RM100,000 sumbangan daripada Jabatan Agama Islam Perak dan RM60,000 adalah hasil kutipan yang diperoleh daripada orang ramai. Setelah bangunan siap, semua murid berpindah ke bangunan baru yang terletak di Batu 10 Lekir. Sekolah ini terdiri daripada 2 blok bangunan satu tingkat dan 1 blok bangunan 2 tingkat yang digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Satu blok bangunan 1 tingkat dan satu blok bangunan 2 tingkat digunakan sebagai Asrama Puteri (ASPURI) sementara satu blok bangunan 2 tingkat digunakan sebagai Asrama Putera (ASPURA). Terdapat juga bangunan kantin dan 2 buah rumah guru.

Pada 1 September 2005, sekolah ini telah didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sekolah ini mula menerima banyak peralatan baru dan dua bangunan barutelah dibina iaitu sebuah kantin dan surau. Pada tahun 2007, sekolah ini telah membina sebuah bangunan baru, iaitu Dewan Makan.