Ahad, 26 Disember 2010

Membaca

Masyarakat negara ini terutama pelajar perlu membudayakan tabiat membaca dan menjadikannya suatu cara hidup yang tiada penghujungnya kerana membaca adalah proses pembelajaran sepanjang hayat ke arah melahirkan generasi muda berilmu serta boleh dijadikan sumber rujukan.

Menurut Pengarah Pelajaran WPKL, Mohd Adenan Deraman, berkata golongan yang rajin membaca akan meletakkan diri mereka pada martabat yang jauh lebih tinggi berbanding golongan yang malas membaca berikutan ketinggian ilmu dan pengetahuan yang ditimba menerusi pembacaan.

Jesteru, katanya, pelajar yang selesai menduduki peperiksaan juga perlu terus menyentuh bahan bacaan bercorak ilmiah kerana membaca bukan sekadar untuk lulus peperikaan tetapi paling penting membolehkan kita meneroka pelbagai ilmu yang terdapat di dalamnya.

"Buku-buku seperti ensiklopedia membuka ruang horizon kita kepada dunia yang lebih luas melampaui ilmu yang terdapat dalam buku teks atau buku akademik di sekolah. Menerusi pembacaan juga kita mampu mendekati negara luar dan meneroka keajaiban serta keindahan dunia tanpa sempadan",katanya.




(Sumber : bharian.com.my)

Rabu, 22 Disember 2010

Aktiviti Pengawas Pusat Sumber : Menyertai Gotong Royong Perdana 2010

SABK Maahad Islahiah Addiniah telah mengadakan Gotong Royong Perdana anjuran Unit Kokurikulum pada 17 Mei 2010. Pengawas Pusat Sumber Sekolah tidak ketinggalan menyertai aktiviti ini. Berkat usaha bersungguh-sungguh semua Pengawas Pusat Sumber yang diselia oleh Pn. Saitul Aznam dan Ketua Pengawas Pusat Sumber, Saudara Khairul Azhar b.Khairulzaman, Pusat Sumber telah diumumkan JOHAN terbersih bagi kategori bangunan khas. Pengawas Pusat Sumber telah menerima hadiah berupa hamper daripada pihak pentadbir sekolah.







Orientasi Pengawas Tingkatan 1 Tahun 2010

Pengambilan calon Pengawas Pusat Sumber telah diadakan pada Jun 2010. Selepas menjalani ujian lisan, calon pengawas telah diberi beberapa lagi ujian kelayakan. Antaranya proses teknik seperti merekod buku baru, mengenali nombor panggilan, nombor perolehan, muka surat rahsia dan membalut buku. Calon juga diuji cara menyusun buku mengikut nombor rak dan nombor pengkelasan dewey. Akhir sekali, calon dikehendaki menjaga kaunter sirkulasi dan merekod pinjaman dan pulangan buku. Aktiviti ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pengawas Pusat Sumber dan diselia oleh Pembantu PSS.









Selasa, 21 Disember 2010

Bengkel Latihan Pusat Calon Tokoh NILAM Peringkat Daerah Manjung 2010

Pada 29 Julai 2010 bertempat di PKG Sitiawan, Siti Nur 'Amirah Farhanah bersama calon-calon Tokoh NILAM yang akan mewakili Daerah Manjung ke Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat Negeri Perak telah menghadiri bengkel Latihan Pusat Calon Tokoh NILAM. Banyak maklumat dan teknik menjawab diperoleh daripada bengkel ini kerana latihan yang dijalankan adalah mengikut standard piawai peringkat kebangsaan dengan menggunakan modul yang telah dihasilkan oleh Guru-guru Cemerlang Negeri Perak. 








Majlis Anugerah NILAM Daerah Manjung 2010

Tn. Hj. Mohd Basri bin Haji Zamzam bersama trofi Najib Johan
Anugerah Pengurusan NILAM Kategori Sekolah Menengah

Majlis Anugerah NILAM Daerah Manjung telah diadakan pada 22 Julai 2010 di Teluk Batik Resort, Lumut. Tokoh NILAM Sekolah tahun 2010, Siti Nur 'Amirah Farhanah bt. Md Natar telah mendapat JOHAN Tokoh NILAM Daerah Manjung bagi Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar. Pusat Sumber Sekolah juga telah mendapat NAIB JOHAN Anugerah Pengurusan NILAM bagi Kategori Sekolah Menengah. 

Siti Nur 'Amirah Farhanah bersama trofi JOHAN
Tokoh NILAM Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar

Aktiviti Pengawas Pusat Sumber : Jualan Sempena Hari Guru 2010

Sempena Hari Guru pada bulan Mei 2010, Pengawas Pusat Sumber Sekolah telah menyediakan perkhidmatan 'Love-Service'. Pusat Sumber Sekolah menawarkan hadiah Hari Guru yang berpatutan dan murid-murid hanya membuat tempahan hadiah untuk guru yang mereka sayangi. Pengawas Pusat Sumber Sekolah menghantar hadiah kepada guru-guru berkenaan semasa Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah pada 17 Mei 2010.


Sejarah Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia sebenarnya telah diilhamkan daripada tradisi Catalan, yang lebih dikenali sebagai Festival of the Rose.

Mengikut lagenda, Saint George telah membunuh naga untuk menyelamatkan puteri Catalan. Lantas daripada pembunuhan tersebut, darah naga yang mengalir telah menumbuhkan sepohon mawar dan Saint George telah memetik sekuntum mawar yang paling cantik lalu diberikan kepada puteri tersebut. Sejak daripada itu, pesta mawar (Festival of the Rose) telah disambut oleh masyarakat Barcelona. Setiap jejaka akan menghadiahkan sekuntum mawar kepada kekasihnya. 

Pada tahun 1923, pesta tersebut kemudiannya telah digabungkan dengan 'el dia del Ilibre' atau Hari Buku yang juga telah disambut sempena kematian Miguel de Cervantes dan William Shakespeare serta beberapa penulis lain, iaitu pada 23 April 1616. Sejak dari tahun 1923 itulah, para wanita yang menerima hadiah mawar daripada kekasih mereka, kemudiannya akan menghadiahkan buku sebagai hadiah ganti di atas pemberian mawar itu. Juga telah dikatakan pada tahun itu sahaja sebanyak 400,000 buah buku telah terjual yang menjadi hadiah balasan kepada 4 juta mawar.

Sambutan hari buku juga adalah untuk meraikan kesinambungan ilmu yang telah ditinggalkan oleh para penulis yang bukan sahaja meninggal pada tarikh tersebut, malah kepada semua penulis yang telah mengabadikan ilmu mereka ke dalam bentuk tulisan.

*****************************************

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa 
Bersatu (UNESCO) telah menetapkan tarikh 23 April sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia (World Book and Copyrights Day)

********************************

Setiap tahun, lebih daripada 100 buah negara merayakan Hari Buku dan Hak Cipta 
Sedunia dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan promosi galakan membaca, kegiatan penerbitan dan perbukuan, dan perlindungan harta intelek melalui hak cipta.

***********************************************************

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menyarankan agar Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia turut disambut pada peringkat sekolah bagi mengembangkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah

****************


(Sumber : www.cikgublog.com,www.planetkucing.wordpress.com)




Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Sekolah 2010

Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia peringkat sekolah telah dijalankan pada 25 April 2010. Acara sambutan bermula pada pukul 7.30 pagi di Dataran Perhimpunan dengan melibatkan semua warga sekolah. 

Antara acara menarik dalam sambutan ini ialah semua guru dan murid membawa sebuah buku, pengenalan sejarah Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, hadiah pembaca bertuah, hadiah istimewa kepada guru dan murid yang lahir pada 23 April (tarikh sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia) serta kuiz spontan berkaitan tema membaca.

Sambutan ini yang julung kali diadakan mendapat sambutan positif daripada para guru dan murid-murid. Tokoh NILAM Peringkat Sekolah tahun 2010, Siti Nur 'Amirah Farhanah bt. Md Natar membacakan Sejarah Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Sambutan dirasmikan oleh pengetua, Tuan Haji Mohd Basri bin Haji Zamzam.


















Selasa, 7 Disember 2010

Bagaimana 'Menjemput' Pertolongan Allah?

Setiap manusia pasti diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk ujian. Ada yang diuji dengan kemiskinan, kelaparan, dan kekurangan harta benda. Ada yang diuji dengan penyakit, kematian, kehilangan orang-orang yang dicintai. Ada juga yang diuji dengan ketakutan ketika jodoh tidak kunjung tiba, sedangkan usia terus bertambah. Ada yang diuji dengan kebimbangan ketika keturunan belum juga hadir setelah bertahun-tahun berumah tangga. Ada juga yang diuji dengan kecemasan ketika tidak memperoleh sebarang pekerjaan. 

Persoalan demi persoalan, kesulitan demi kesulitan yang dialami setiap manusia, hakikatnya adalah ujian daripada Allah s.w.t. untuk melihat siapa di antara hamba-hambaNya yang tetap teguh, sabar dan ikhlas penuh keimanan dan ketakwaan dalam menghadapi segala ujian yang datang kepadanya, serta siapa yang tidak sabar dan mudah putus asa ketika ditimpa pelbagai ujian dan cubaan dariNya.

Apakah kita akan menggugat serta mempersoalkan keadilan Allah? Atau mungkinkah serangkaian masalah yang kita alami, akan semakin menyedarkan kita bahawa kita makhluk lemah yang tidak berdaya tanpa kekuatan dan pertolongan Allah s.w.t.?

Sesungguhnya di sebalik setiap persoalan dan kesulitan yang menimpa manusia, Allah sudah menjanjikan jalan keluar serta penyelesaiannya. Hanya Allah yang mampu memberi pertolongan berupa jalan keluar daripada setiap masalah, serta penyelesaian bagi setiap persoalan yang menimpa manusia. Persoalannya, bagaimana menjemput pertolongan Allah, agar setiap masalah yang kita hadapi segera mendapat penyelesaian?

Hidup adalah pilihan. Dan pilihan itu ada pada diri kita masing-masing. Mahu bahagia atau sengsara, senang atau susah, sabar atau putus asa, bergantung kepada bagaimana kita menyingkapi hidup ini.

Setiap insan tidak terlepas daripada ujian Allah

Nasihat Aidh bin Abdullah Al-Qarni buat mereka yang sedang bersedih..."Janganlah anda bersedih menghadapi kekeruhan hidup, kerana sesungguhnya memang demikanlah kehidupan ini diciptakan. Pada dasarnya kehidupan ini memang meletihkan dan menyusahkan, sedang kesenangan yang ada merupakan suatu peristiwa yang sesekali sahaja, begitu juga kegembiraan merupakan sesuatu yang jarang terjadi. Seandainya dunia ini bukan tempat ujian, tentulah pelbagai macam penyakit dan kesusahan hidup tidak akan ada di dalam dunia ini."

"Seandainya kehidupan ini bukanlah rangkaian ujian, tentulah para nabi dan orang-orang soleh tidak akan mendapat kesulitan dalam menjalani hidupnya. Apabila saat ini hidup anda terasa kering, jauh dari bahagia, hati tidak pernah tenang, gelisah, tertekan, sedih...mungkin kerana selama ini anda hanya mengejar gemerlap dunia yang menipu. Untuk itu, beristighfarlah, mohonlah ampun kepada Allah..." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang menjadikan dunia sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah akan menyukarkan urusannya dan menjadikan kemiskinan kelihatan di kedua matanya. Ia tidak akan memperoleh dari dunia yang ia tempati, kecuali apa yang telah ditetapkan baginya. Barang siapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan memudahkan urusannya dan menjadikan kekayaan muncul dalam hatinya dan dunia pun akan datang kepadanya dengan mudah."

Hanya Allah tempat kita berdoa, tempat mengadu, tempat mencurahkan kekecewaan hati, dan tempat meminta pertolongan. Hanya dengan menyebutNya hati menjadi damai, jiwa terasa tenang, perasaan menjadi tenteram, fikiran menjadi santai, dan kita yakin sepenuh hati. "Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan" (Surah An-Nahl, ayat 53). "Katakanlah: 'Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan'.." (Surah Al-An'am, ayat 64). "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)." (Surah An-Naml, ayat 62).

(Rujukan : Bagaimana 'Menjemput' Pertolongan Allah? Diselenggarakan oleh Abdul Rahman Mat Ismail, Kalam Ilham Sdn. Bhd)



Isnin, 6 Disember 2010

Membaca

Membaca berperanan untuk menajamkan minda seseorang. Orang yang banyak membaca, otaknya menjadi tajam, mudah memahami sesuatu yang diperkatakan dan matang semasa membuat keputusan. Manakala orang yang tidak suka membaca otaknya menjadi semakin tumpul, sukar memahami apa-apa juga yang diperkatakan dan tidak matang semasa membuat keputusan.

Kita perlu pandai menyesuaikan diri dengan bahan bacaan. Bahan bacaan hendaklah sesuai dengan suasana. Bacaan yang berat, bersifat ilmiah sesuai dibaca ketika kita mempunyai tumpuan yang tinggi, bersedia dan duduk di tempat yang betul seperti ruang belajar. Manakala jika kita berada di tempat awam, seperti di pusat membeli belah, padang permainan dan seumpamanya, waktu yang terluang perlu diisi dengan pembacaan yang bersifat ringan. Kita boleh membaca majalah, surat khabar, komik dan sebagainya.

Budaya membaca perlu disemai dalam diri setiap remaja. Jika kita tidak mahu dicap sebagai keanak-anakan dan tidak matang, kita perlu menjadi pencinta buku. Kita perlu minat dan suka membaca pada setiap masa dan tempat. Bahan utama yang perlu kita banyak membaca ialah Quran. Kita perlu banyak membaca Quran kerana ia adalah pembawa petunjuk dan ubat untuk orang yang sakit. Penyakit mental dan fizikal boleh diubati dengan membaca Quran.

Jika kita berasa gelisah dan risau tentang sesuatu, ambillah air sembahyang, kemudian menghadaplah ke arah kiblat dan bacalah Quran. Pegang dan selak mana-mana halaman Quran. Pada halaman yang kita selak itu, bacalah dengan mengikut tajwidnya dan hayatilah bacaan kita. Dengan izin Allah, kita akan dapat ubatnya. Cubalah dan rasailah keajaiban Quran.

Di samping itu, bacalah buku-buku yang menerangkan tentang ajaran Islam yang sebenar. Bacalah buku-buku yang menyentuh permasalahan ibadah yang mudah untuk kita faham. Bacalah sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. dan ambillah pengajaran bagaimana beliau melayari hidup ketika remaja. Bahan bacaan berkaitan pembentukan akhlak yang baik, cerita-cerita tentang para sahabat nabi, kisah pejuang-pejuang Islam dan seumpamanya.
(Rujukan:pts.com.my)


Membaca walau di mana saja kita berada
Membaca adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan




Ahad, 5 Disember 2010

Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat PKG Sitiawan 2010

Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat PKG Sitiawan telah diadakan pada 12 Mei 2010 bertempat di PKG Sitiawan. Seramai 16 orang peserta terdiri daripada pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 4 dari sekolah-sekolah kelompok PKG Sitiawan menyertai pemilihan tersebut.

Siti Nur Amirah Farhanah bt. Md Natar yang mewakili SABK Maahad Islahiah Addiniah telah berjaya mendapat JOHAN Pemilihan Tokoh NILAM kategori sekolah menengah luar bandar. Beliau akan mewakili PKG Sitiawan bagi kategori tersebut dalam Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat  Daerah Manjung.










Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat Sekolah 2010

Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat Sekolah telah diadakan pada 29-30 April 2010. Seramai 6 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 iaitu Siti Nur Amirah Farhanah, Nurul Khalidah, Nur Fazira Eriza, Nor Zakiah, Nurul Hafidzah dan Siti Rozaida. 

Panel penilai pula terdiri daripada Pn. Noor Zaini (Ketua Bidang Bahasa), Pn. Nor Azliza (Ketua Panitia Bahasa Melayu), Pn. Noor Azlina (Ketua Bidang Bahasa Inggeris), Pn. Syukriyah (Guru Bahasa Melayu), Cik Nazatul Shima (Guru Bahasa Inggeris) dan Cik Norliana (Guru Perpustakaan & Media).

Kesemua calon menjalani ujian pengesanan kemahiran membuat rumusan/ulasan (penulisan) pada 29 April 2010. Sementara ujian pengesanan kemahiran membaca, pengesanan pengetahuan, pengesanan kebestarian, pengesanan penghayatan & apresiasi pembacaan dijalankan pada 30 April 2010. 

Para penilai telah sebulat suara memilih Siti Nur Amirah Farhanah bt. Md Natar sebagai Tokoh NILAM Sekolah bagi tahun 2010. Beliau akan mewakili sekolah dalam Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat PKG Sitiawan.